Tuesday, November 30, 2010

Saat- Saat Terakhir


Nabi Muhammad S.A.W. baru pulang dari satu perjalanan dan baginda merasakan badannya kurang segar. Atas permintaan baginda, isteri-isteri baginda mengizinkan baginda tinggal di rumah Aisyah. Pada suatu ketika, baginda meminta Aisyah memanggil para sahabat Nabi lantas Aisyah segera melaksanakannya. Tidak lama kemudian berkumpullah mereka dengan duduk di samping tempat berehat Nabi.

"Salam sejahtera dan selamat datang," demikian Nabi memulakan bicara. Semua yang ada terdiam dan mendengar dengan teliti kata-kata baginda.


"Saat perpisahan kita telah hampir," Nabi membayangkan apa yang akan terjadi.
Selesai baginda berkata-kata, salah seorang bertanya: "Siapakah yang akan memandikan Nabi?"

"Yang paling dekat dari keluargaku," jawab Nabi.


"Dengan apa kami kafani?" datang pertanyaan lagi.


"Kainku ini jika kamu mahu, atau kain Mesir, ataupun Yaman," jawab Nabi.


"Siapakah yang akan menyembahyangkan Nabi?"


Belum sempat Nabi menjawab, kesedihan hati sudah merata. Tiba-tiba Abu Zar menangis kerana tidak sanggup menahan pilu di hati. Sahabat-sahabat yang lain turut menangis dan akhirnya Nabi sendiri menangis.
Dalam keadaan sedu-sedan itu, Nabi meneruskan bicaranya. Baginda terus menceritakan tentang memandikan, mengafani dan menyembahyangkan. Cara-cara dan betapa harus dikerjakan telah baginda gambarkan kepada sekalian sahabat yang hadir.

"Siapa yang akan memasukkan jasad Nabi ke kubur?" bertanya sahabat.


"Keluargaku, bersama-sama dengan malaikat yang ramai, mereka meliaht kamu, tetapi kamu tidak melihat mereka." jawab Nabi S.A.W.


Suasana di tempat itu bertambah sedih, Abu Zar lebih tidak tertahan lagi lalu beliau keluar dari rumah Aisyah sesudah meminta diri. Suara Nabi menceritakan saat perpisahan itu amat menyayatkan hatinya.
Kekuatan Nabi makin berkurangan dan baginda terus tinggal di rumah Aisyah. Para sahabat bersedih hati dan demikian juga penduduk Madinah yang mengetahui hal itu. Sebelum ini Nabi S.A.W. pernah dalam khutbahnya di masjid yang menggambarkan baginda akan berpisah dengan umat dan dunia ini. Sekalian yang mendengar mencucurkan air mata dan merasa pilu dan sedih dan kini suasana kesedihan sudah merata-rata di Kota Madinah. Tetapi kesedihan mereka berkurangan sedikit apabila kelihatan Nabi dipapah oleh keluarganya untuk bersolat jemaah di masjid. Baginda menyuruh Abu Bakar menjadi Imam dan baginda solat di belakangnya. Selesai bersolat terasa suasana gembira di kalangan sahabat dan mengharap kesihatan Nabi beransur pulih. Nabi kemudian menyampaikan amanat kepada yang hadir, terutamanya tentang perkara yang harus diperhatikan sepeninggalan baginda iaitu berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah. Sesudah itu baginda dipapah kembali ke rumahnya. Di rumah Aisyah keadaan baginda menjadi bertambah lemah.

Akhirnya, tanggal Isnin bersamaan 13 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah, Nabi, Rasul Allah, meninggalkan dunia ini di dalam rumah Aisyah. Terdengar suara Aisyah bercampur bingung dan sayup-sayup terdengar suara Fatimah : Abatah, Ya Abatah! ayah, oh ayahku!
Kota Madinah diselubungi kesedihan yang luar biasa. Sebilangan mereka hampir tidak mahu mempercayai berita itu. Umar bin Khathab mencabut pedangnya dan mengertak untuk membunuh sesiapa yang mengatakan bahawa Nabi telah wafat. Umar seolah kebingungan tidak mahu membenarkan berita kewafatan Rasulullah S.A.W itu. Abu Bakar setelah diberitahu segera beliau datang dan terus menuju ke tempat jasad Nabi dibaringkan. Beliau melihat jasad dan wajah Nabi yang tidak bernyawa lagi. Kemudian dalam keadaan sedih mengucapkan kata-kata penuh keharuan atas wafatnya baginda Rasulullah.

"Wahai manusia! Barang siapa menyembah Muhammad, Muhammad kini sudah wafat. Tetapi barang siapa menyembah Allah, maka Allah tidak mati," demikian kata-kata Abu Bakar dan sesudah itu segera beliau keluar, dan menemui orang ramai.


Mendengar kata-kata Abu Bakar, Umar bin Khathab merasa pilu sehingga dia menangis. Yakinlah Umar atas berita kewafatan Nabi yang sangat dicintainya itu. Semua orang bergelumang dalam suasana yang sedih yang amat menusuk hati.
Begitulah sahabat-sahabat. Bagaimana tingginya cinta para sahabat serta keluarga baginda terhadap baginda. Hilangnya seorang utusan Allah, bagaikan hilangnya jiwa yang sepatutnya tersemat di jasad setiap manusia. Oleh itu, soallah diri kita, sejauh mana cinta kita kepada Baginda. Jika benar kita mencintai Rasulullah, sejauh mana kita mengikut sunnah dan ajaran yang dibawa olehnya. Tepuk dada, tanyalah iman. Allahualam....

Sabda Rasulullah S.A.W : " Tidak sempurna iman kamu sehingga aku lebih dicintaimu daripada anak, ibu bapa dan manusia seluruhnya." Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.


2 comments:

~ SerikaNdi0reN ~ [^_^] said...

xbley byg cane situasi andai kata bley jumpe baginda.. urm..

Zharif said...

benar sahabtku. cintailah Rasulullah... cintailah dia lebih dari keluargamu serta sahabtmu. kerana baginda adalah kekasih Allah!!!!!!!

Post a Comment

Halwa Telinga