Thursday, October 21, 2010

Khadijah al-Khuwailid Isteri Terbaik

Siapakah wanita pertama yang beriman pada saat semua orang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad S.A.W?
Siapakah wanita yang sanggup mendermakan seluruh hartanya pada saat semua orang enggan memberinya?
Siapakah wanita yang bijak meneguhkan hati seorang suami pada saat semua orang membencinya?
Semua jawapan ini terhimpun pada Khadijah al-Khuwailid. Terangkat kemuliaannya sebagai murabbiah paling terang daripada segenap gugusan bintang. ^_^

Profil Khadijah
Beliau juga terknal sebagai Ummu al-Qasim binti Khuwailid bin Asad bin Abdul 'Uzza bin Qushai bin Kilab, lahir di Umm al-Qura (Makkah) sekitar 15 tahun sebelum Tahun Gajah. Beliau berketurunan suku Quraisy daripada keluarga Bani Asad.
Menurut al-Zubair bin Bakkar, sejak zaman jahiliah, beliau dikalungkan gelaran al-Tahirah (wanita suci) oleh masyarakat setempat. Ini disebabkan oleh sifatnya yang sukakan kebersihan dan kesucian. Ibunya bernama Fatimah binti Za'idah al-'Amiriyah.
Belaiu merupakan seorang usahawan wanita yang terkemuka, sangat berjaya dalam bidang perniagaan. Satu kafilah dagang Khadijah yang dihantar ke Syria menyamai dengan konsortium beberapa kafilah dagang Quraisy.
Sebelum dimahkotakan darjat sebagai Ummu al-Mukminin yang pertama, Khadijah telah beberapa kali menikah. Suami pertamanya ialah Abu Halah bin Zurarah al-Tamimi.
Setelah kematian suaminya, beliau bernikah dengan 'Atiq bin 'Abid bin Abdullah bi Umar bin Makhzum. Namun perkahwinan itu tidak kekal. Ramai pembesar Quraisy yang melamar Khadijah namun ditolak kesemua selepas itu.
Pemuda yang berjaya menambat hatinya ialah Muhammad bin Abdullah yang ketika itu baru berusia 25 tahun. Lebih muda 15 tahun daripada usianya. Hiduplah beliau di sisi Muhammad sebagai tauladan isteri paling solehah sepanjang zaman.

Khadijah di Hati Nabi
Khadijah merupakan isteri kesayangan Nabi Muhammad S.A.W. Beliau dimuliakan suami ketika hidup dan sesudah wafat. Pengorbanan beliau sentiasa dikenang dan menjadi ingatan abadi. Pujian yang sentiasa meniti di bibir Nabi terhadap insan bernama Khadijah r.ha. mengundang kecemburuan Aisyah r.ha., biarpun pada saat itu Khadijah r.ha. sudah pun wafat.
Aisyah berkata, "Saya tidak pernah cemburu kepada seorang wanita seperti kecemburuanku kepada Khadijah kerana Rasulullah sering menyebut-nyebut namanya..." (Muttafaq 'alaih)
Aisyah melanjutkan cerita, "Jika Rasulullah S.A.W menyembelih kambing, maka Baginda berkata, 'Bahagikan kepada teman-teman Khadijah.' Saya pernah membuat Rasulullah marah apabila berkata, 'Lagi-lagi Khadijah!' Baginda berkata' 'Sesungguhnya saya amat mencintainya.' (Muttafaq 'alaih)

Ibu yang Barakah
Khadijah melahirkan keurunan bagi Nabi. Permata hati mereka seramai enam orang iaitu dua lelaki dan empat perempuan. Mereka ialah al-Qasim, Abdullah, Fatimah, Ummu Khultum, Zainab, dan Ruqayyah. (Al-Baihaqi, Dala'il al Nubuwwah, hlm.70)
Beliau tabah menerima takdir apabila semua puteranya dijemput menghadap Allah ketika masih kecil. Keberkatannya terserlah apabila dipilih oleh Allah S.W.T untuk melahirkan penghulu wanita di syurga iaitu Fatimah binti Muhammad.

Kematangan Khadijah

1. Matang Memilih Pasangan Hidup
Beliau menolak sekian banyak lamaran tokoh-tokoh Quraisy kerana dapat menduga ketertarikan mereka lebih kerana tamkkan harta Khadijah. Wanita yang matang menilai ini menemui keluhuran akhlak pada peribadi Nabi yang amanah menguruskan hartanya, bukannya diperhambakan oleh harta. Peribadi Rasulullah S.A.W. diridik melalui hamba lelakinya, Maisarah.
Hasrat hati lalu diungkapkanmelalui sahabat karibnya, Nafisah bini Munabbih. Beliau tidak mengungkapkannya sendiri kerana ingin menjaga martabat malu seorang wanita. Rasulullah S.A.W. menerima hasrat itu dengan lapang dada. Lalu, disampaikan keinginannya menikahi Khadijah kepada bapa-bapa saudaranya. Maka, Abu Talib, Hamzah dan bapa-bapa saudara Nabi yang lain menemui bapa saudara Khadijah, 'Amr bin Asad untuk meminang Khadiah bagi pihak Muhammad.
Walaupun menikahi seorang lelaki miskin bernama Muhammad, Khadijah bahkan terasa makin kaya. Kaya harta dan ditambah kaya jiwa. Kekayaan budi pekerti Muhammad menambahkan kekayaan hidupnya. Apatah lagi, Muhammad sangat cekap berniaga, amanah dan datang daripada keturunan terhormat.

2. Segera Menyahut Kebenaran
Pada suatu hari, Rasulullah S.AW. pulang ke rumah setelah diajar Jibrail cara mengerjakan solat. Rasulullah S.A.W. pulang dan mengkhabarkan kepada Khadijah. Khadijah pun segera minta diajar dengan berkata, "Tunjukkan kepada dinda apa yang ditunjukkan Jibrail kepada kanda."
Rasulullah S.A.W. lantas mengajarnya berwuduk dan solat. Kemudian, mereka solat bersama-sama. Setelah solat, Khadijah bersaksi atas kerasulannya. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata dalam kitab al-Isabah, "Riwayat ini merupakan bukti paling jelas tentang keislaman Khadijah."
Saat itu, solat lima waktu belum diwajibkan. Solat yang diajar Jibrail hanyalah solat dua rakaat pada waktu pagi dan solat dua rakaat pada waktu malam.

3. Menghormati Ibu Susuan Nabi
Khadijah dengan senang hati bersama-sama suaminya membawa Ummu Aiman, ibu susuan Nabi ke rumahnya selpas pernikahan mereka. Ummu Aiman yang berjasa itu dimuliakan seperti memuliakan ibu kandungnya sendiri. Bukan itu sahaja, ketika Halimah al-Sa'adiah datang mengadu kepada Nabi tentang penderitaan kemiskinan di Kampung Bani Saad, Khadijah bermurah hati menghadiahkan 40 ekor kambing dan seekor unta untuk membawa air dan bekalan yang cukup. Beliau sedar, suaminya membesar dalam pelukan Halimah. Kampung Bani Saad itu pula penuh nostalgia semasa hari-hari kecil suaminya. Itulah cara Kadijah memuliakannya.

4. Peka Membaca Apa yang Disukai Nabi
Khadijah tahu bahawa Nabi S.AW. amat menyukai hambanya, Zaid bin Harithah. Tanpa berlengah lagi, beliau menghadiahkan hambanya itu kepada suami tercinta. Zaid lalu dimuliakan Nabi menjadi anak angkatnya dengan gelaran Zaid bin Muhammad sebelum larangan tersebut disyariatkan.

5. Menenangkan Suami yang Ketakutan
Dalam peristiwa agung penurunan wahyu pertama di Gua Hira', prosesnya amat berat dan melelahkan. Gema suara Jibrail yang menyeru " Bacalah!" terasa amat menggerunkan. Rasulullah S.A.W. pulang dalam keadaan ketakutan.
"Selimuti daku! Selimuti daku!" pinta Rasulullah tatkala disambut isterinya.
Setelah itu, Rsululah berkongsi ketakutannya dengan isteri tercinta. Dengan lembut bicara dan tenang wajahnya, Khadijah menghiburkan, " Jangan khuatir. Berbahagialah, sesungguhnya Allah tidak mungkin akan menghinakanda dengan kejadian itu. Selama ini kanda sering menyambung silaturahim, jujur dalam berbicara, meringankan beban orang yang susah, membantu orang yang lemah, menghormati tamu serta mendukung setiap kebenaran." (Riwayat Muslim)
Beliau dengan bijaksana membawa suaminya berjumpa Waraqah bin Naufal yang alim. Ia makin meneguhkan keyakinan suaminya.

6. Orang Pertama Memeluk Islam
Imam 'Izzuddin bin al-Athir r.hm berkata: "Khadijah adalah manusia pertama yang memeluk Islam." (Usud al-Ghabah, hlm.78) Dialah peneguh dakwah Nabi S.A.W. Mengorbankan seluruh kekayaannyademi agama yang diimani. Saat orang Islam ditindas, didera dan dipulaukan, beliau ttap di belakang suami, seorang Nabi.

Tahun Kedukaan
Apabila dakwah Islam memecah tahun kesepuluh dan mengalami pelbagai peristiwa besar, Rasulullah S.A.W. mengalami ujian getir apabila Allah menjemput kekasih hatinya. Dialah Khadijah yang teguh berdiri di belakangnya selama ini. Hati bertambah pilu apabila kematian Khadijah disusuli kematian Abu Talib yang turut banyak membantu dakwah Baginda. Hinggakan tahun itu diisytiharkan sebagai "Tahun Kedukaan".

Allah berkirim Salam
Inilah peribadi Khadijah yang menerima salam daripada Allah S.W.T. Abu Hurairah menyatakan bahawa Jibrail datang kepada Nabi S.A.W. sambil berkata: "Wahai Rasulullah, Khadijah sedang berjalan ke mari. Dia membawa bekas yang berisi kuah, makanan dan minuman. Jika dia sampai kepadamu, maka katakanlah bahawa Tuhan-Nya dan aku berkirim salam kepadanya. Dan sampaikanlah khabar gembira kepadanya bahawa dia akan mendapat sebuah rumah di syurga yang diperbuat daripada buluh, yang tidak risik ( bising atau riuh) dan tidak melelahkan." (Muttafaq 'alaih) Fatimah pernah bertanya ayhnya tentang hal itu: "Adakah buluh yang berada di sekitar ini?" Rasulullah menjawab: "Tidak. Melainkan buluh yang bertatahkan intan, mutiara dan berlian."

Wallahualam... ^_^

0 comments:

Post a Comment

Halwa Telinga